EMBRIOLOGI; EMBRIO SEBAHAGIAN DIBENTUK SEMPURNA DAN SEBAHAGIAN TAK SEMPURNA Pada peringkat mudghah, jika satu pembedahan di buat ke atas embrio dan organ-organ dalamannya, kita dapat melihat kebanyakannya mempunyai bentuk sempurna dan adanya yang masih belum sempurna bentuknya. Mengikut Prof. Johnson jika kita menyatakan embrio itu sebagai kejadian yang sempurna, bermakna kita hanya menjelaskan bahagian itu sahaja yang mana yang sedia terjadi. Tetapi jika kita menjelaskanya sebagai kejadian yang belum sempurna bermakna kita hanya menerangkan bahagian tersebut yang mana belum lagi dijadikan. Persoalannya adakah ia kejadian yang sempurna atau tidak? Tidak ada penjelasan yang lebih baik mengenai peringkat embryogenesis ini selain daripada apa yang telah dijelaskan oleh Al-Qur’an, iaitu “yang dibentuk sempurna dan yang dibentuk tidak sempurna” dalam ayat yang berikut: خَلَقْنَاكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ Kami telah menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setitis mani kemudian dari segumpal darah kemudian dari segumpal daging yang dibentuk sempurna dan yang dibentuk tidak sempurna kerana Kami akan menjelaskan (kekuasaan Kami) kepada kamu …. ( Al-Hajj : 5 ) Secara saintifik kita tahu bahawa pada peringkat awal pertumbuhan, ada sel-sel yang boleh dibeda-bedakan dan ada tidak dapat dibeda-bedakan – iaitu ada organ yang terbentuk dan ada yang belum terbentuk. DERIA PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN Deria pertama yang tumbuh dalam pertumbuhan embrio manusia ialah deria pendengaran. Janin boleh mendengar selepas minggu ke 24. Selepas itu deria penglihatan akan tumbuh dan selepas minggu ke 28 , retina menjadi sensitif terhadap cahaya. Cuba perhatikan ayat Al-Qur’an berikut yang berkaitan dengan pertumbuhan deria di dalam embrio: وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ Dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran dan penglihatan dan hati (As-Sajdah : 9 ) إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَّبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا Sesungguhnya Kami telah ciptakan manusia dari (setitis) mani (yang) bercampur-campur (yang) Kami akan mengujinya lalu Kami jadikan ia orang yang boleh mendengar dan orang yang boleh melihat. ( Al-Insaan : 2 ) وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ Dan Dialah yang telah menjadikan bagi kamu pendengaran dan penglihatan dan hati (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur . ( Al-Mu’minuun : 78 ) Dalam semua ayat-ayat Al-Qur’an di atas, deria pendengaran dinyatakan terlebih dahulu dari deria penglihatan. Oleh itu penjelasan Al-Qur’an ini menyamai dengan penemuan-penemuan dalam ilmu embriologi moden.

No comments:

Post a Comment